Tuesday, May 3, 2011

Bedak Sejuk Tradisional

Sumber : mistribikerz.multiply.com

Bedak Sejuk? Apa tu?”

Itulah jawapan yang diterima daripada remaja tentang apa yang mereka tahu tentang bedak sejuk.


“Bedak sejuk tu yang bayi pakai ke? Bedak tu yang buat ubat gatal-gatal?”

Segala jawapan bagi soalan-soalan ini terjawab apabila saya membuat kunjungan ke Pontian kechil Johore, Rimba Terjun, untuk menemui pakar pengubatan tradisional seperti jamu, bedak sejuk, param dan perbidanan.


Menurut nenek Masitah Bte Rejo, 87 tahun, yang sudah 60 tahun berkecimpung dalam dunia perbidanan, jamu dan perubatan tradisional, bedak sejuk merupakan salah satu bahan pengubatan tradisional yang turut berfungsi sebagai bahan kecantikan atau alat penjagaan kulit.

“Zaman dahulu mana ada alat solek. Hidup miskin. Tapi berkat ilmu yang diberikan, tetap ada cara menjaga muka,” jawab nenek Masitah tentang rahsia dan petua awet mudanya.

“Dahulu, semua bahan diambil dari alam sekitar. Tiada sebarang teknologi canggih. Semua dibuat gunakan kudrat yang diberi Tuhan. Kalau rajin dan teliti, bedak sejuk akan menjadi,” jelas nenek Masitah lagi, yang sebenarnya lahir di Jawa.


Nenek Masitah menerangkan cara-cara membuat bedak sejuk cara tradisional, iaitu dengan memilih beras yang elok dan bersih. Beras direndam di dalam air pandan 3 hari 3 malam. Bunga melur, tanjung dan cempaka ditabur di dalam rendaman beras supaya aromanya menyegarkan. Sewaktu merendam, bekasnya ditutup dengan kain jarang supaya serangga seperti kutu, semut, agas, nyamuk, lipas, tidak dapat masuk kerana serangga yang mati di dalam rendaman akan menyebabkan penyakit kulit.

Kemudian, rendaman akan diletakkan di bawah pokok agar air embun menitis ke dalamnya. Selepas 3 hari, beras yang sudah kembang dan wangi digiling halus-halus

.

Nenek Masitah turut mencampurkan akar-akar kayu dan bahan alam semulajadi yang berkhasiat dalam pembuatan bedak sejuk. Akar-akar kayu dan bahan alam semulajadi itu adalah cekur, jintan manis, jintan hitam, semoyee (bentuk macam kayu manis), ghanti (atau boleh diganti dengan biji gani), albe, kapas hantu, pulau sari, bengklai (dari buah), jeringau, kunyit, tahi angin (macam jala), dan daun aroda. Semua bahan ini dibasuh bersih dan semoyee disangan tetapi jangan sampai kering. Jeringau dipotong kecil-kecil. Bahan-bahan ini semua ditumbuk dengan lesung dan kemudian digiling halus (boleh diblender). Ramuan ini perlu ditapis lagi, untuk mengabil yang ramuan yang halus sahaja.

Beras yang sudah digiling itu kemudian dicampur dengan bahan gilingan akar kayu dan diadun dan digaul sama rata. Ramuan itu dicampur dengan air sedikit demi sedikit sambil mengulinya, supaya tidak terlalu cair.


Ramuan yang sudah mampat itu kemudian digentel halus-halus berbentuk bulat dan dijemur selama 3 hari sehingga benar-benar kering.

Sepanjang proses membuat bedak sejuk, tidak boleh terkena air hujan walau setitik. Bermaksud, beras yang direndam hanya boleh mendapat air embun, bukan air hujan, dan sekiranya dijemur kemudian dibasahi hujan, bedak tidak akan menjadi kerana terlalu lembab. Menurut nenek Masitah, bedak sejuk yang terkena air hujan akan berbau dan jika tetap dipakai, ia akan memberi kesan buruk seperti jerawat dan kulit yang kering. Selain itu, nenek Masitah menggalakkan orang yang membuat bedak sejuk sentiasa berselawat atau berzikir di dalam hati ketika proses membuat bedak sejuk.


Pemakaian Bedak Sejuk adalah dengan mengambil beberapa butir bedak sejuk, mengikut agak sendiri dan dicampurkan dengan sedikit air, kemudian disebatikan. Bedak yang lembab itu disapukan pada wajah dan leher. Sekiranya seseorang ingin menggunakannya sebagai masker, bedak sejuk perlu digunakan lebih banyak keran ia akan mengeras di wajah setelah kering. Sekiranya mahu menggunakannya sebagai bedas asas seharian, cukup sekadar sebiji atau dua biji bedak sejuk kerana ia perlu sapuan yang tipis sahaja.

Kebaikan bedak sejuk ialah jika digunakan di wajah, akan mengelakkan jerawat dan masalah kulit yang lain. Di kampung-kampung, bedak sejuk disapukan pada keluruhan wajah dan tubuh bayi atau kanak-kanak untuk mengelakkan ruam panas atau penyakit kulit yang biasa dialami anak-anak kecil itu.


“Orang Bandar sekarang, tak suka bayi dipakaikan bedak sejuk. Konon bayinya bau busuk nanti. Tetapi mereka tak tahu khasiat bedak sejuk lebih bagus daripada bedak-bedak moden sekarang.”

Membuat bedak sejuk Tradisional tidak sama dengan membeli bedak sejuk di kedai-kedai yang telah dibotolkan. Proses membuat bedak sejuk yang dipasarkan adalah dengan menggunakan peralatan berteknologi canggih, sesuai dengan kemajuan dan ketamadunan. Namun begitu, membuatnya secara tradisional menghasilkan bedak sejuk yang lebih berkualiti dan mujarab, berkat kesungguhan, disiplin dan ketelitian.


***Kesimpulan yang aku boleh buat kat sini, untuk nak menjadi cantik tak semestinya kena guna barang mahal, yang penting hati yang bersih dah boleh bersihkan segala2 kekotoran yang ada pada diri masing-masing.******

2 comments:

Unknown said...

tp bhan nye tak kenal.adoi..

Anonymous said...

bedak sejuk jenama apa yg seronok dan yakin dipakai?